Wednesday, September 18, 2013

Tidak bayar saman AES bukan kesalahan – peguam




www.insurankereta.com

KOTA KINABALU: Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff menjelaskan sesiapa yang mendapat saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan tidak membayar saman tersebut bukan satu kesalahan.

Beliau berkata, di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak mengandungi arahan bahawa saman atau kompaun itu wajib dibayar.

"Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan arahan agar membayar saman dengan kadar yang baru iaitu RM150 tetapi jumlah tersebut akan meningkat jika engkar arahan.

"Saya nak cabar Hishamuddin tunjukkan dalam akta tersebut yang mengarahkan saman itu perlu dibayar, kalau dia boleh tunjuk sepatah ayat mengatakan bahawa saman atau kompaun perlu (wajib) dibayar, saya akan membayar kesemua saman-saman AES  yang telah dikeluarkan," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan yang meminta pemandu yang mendapat saman membayar kompaun dengan jumlah denda yang baru.

"Kompaun tidak wajib dibayar. Saman AES ialah perintah supaya hadir mahkamah bukan minta dibayar RM300 atau RM150 atau berapa sekali pun.

"Jika penerima saman tidak membayar kompaun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika telah diserahkan kepada PDRM, tidak boleh menyenarai hitam kerana saman itu tidak tertunggak selagi tidak dibawa ke mahkamah. Sekarang prosiding AES di mahkamah masih ditangguhkan, jadi tiada apa-apa tindakan boleh diambil jika penerima saman abaikan saja saman-saman tersebut.

"Yang tidak mahu ke mahkamah itu ialah Peguam Negara bukan penerima saman. Jadi kenapa penerima saman hendak dihukum atas tindakan Peguam Negara yang tidak mahu ke mahkamah?" tanya beliau.

Beliau melihat keputusan tersebut adalah kerana kerajaan perlu membayar kepada syarikat pembekal mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

Katanya, atas sebab pemandu yang kena saman AES tidak dapat didakwa dan terdapat saman-saman yang dibatalkan di mahkamah kerana mempunyai masalah teknikal dari sudut pendakwaan, maka kerajaan mengugut agar pemandu membayar saman-saman tersebut agar syarikat pembekal mendapat bayaran.

"Saya pasti kerajaan terdesak untuk bayar kepada syarikat pembekal, jika sebelum ini setiap satu saman mereka akan dapat RM16 dan jumlah denda sekarang RM150 sudah pasti pembekal mendapat RM8.

"Untuk kerajaan tidak membayar komisyen tersebut adalah satu yang mustahil kerana ia terkandung di dalam perjanjian, dan jika benar kerajaan tidak mahu bayar, satu jumlah pampasan yang besar perlu dikeluarkan untuk kos ganti rugi mereka," tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pemandu yang menerima saman AES agar tidak membayar saman tersebut dan hadir ke mahkamah

Beliau bersedia untuk mewakili mereka kerana terdapat saman-saman yang sebelum ini telah dibatalkan oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment