Saturday, September 22, 2012

Apa itu takaful?



1.Apa itu takaful?

Definisi:
Kata dasar perkataan takaful adalah Kafala yang bererti menjamin, menjaga atau memelihara. Oleh itu takaful memberi maksud saling menjamin, menjaga dan memelihara. Dalam bahasa yang mudah takaful bermaksud satu pakatan yang berjanji menjaga kebajikan diantara ahli apabila salah seorang daripada mereka yang menyertai pakatan berlaku musibah. Oleh sebab itu kontrak takaful mengandungi unsur tabarru’. Tabarru’ berfungsi sebagai satu dana bagi menolong ahli pakatan apabila musibah melanda. Unsur-unsur lain yang terlibat dalam kontrak takaful adalah Mudharabah, wakalah, qardh hasan dan hibah.

Tabarru’ bermaksud menderma. Dalam operasi takaful setiap peserta yang ingin menyertai pakatan ini, mesti menyumbang (tabarru’) duit mereka kedalam tabung dana risiko. Dana ini akan digunakan apabila peserta-peserta dalam pakatan tersebut ditimpa musibah. Kebiasaannya nisbah tabarru’ dan Akaun peserta (simpanan) berbeza diantara setiap produk dan syarikat takaful.

Mudharabah merupakan kontrak perkongsian melibatkan satu pihak menyediakan modal dan satu lagi mengusahakan. Dalam kes takaful pemodal (peserta) dan pengusaha (syarikat takaful).  Wang sumbangan peserta selepas ditolak yuran wakalah akan dilaburkan oleh syarikat takaful samada dari dana risiko dan akaun peserta (simpanan). Apabila berlaku keuntungan, keuntungan tersebut akan dibahagikan kepada peserta dan syarikat takaful mengikut nisbah yang dipersetujui pada peringkat awal kontrak diantara peserta dengan syarikat takaful. Kebiasaanya setiap syarikat takaful meletakkan nisbah berbeza. Malahan ada juga syarikat yang sama tetapi apabila produk berbeza maka nisbah juga berbeza. Oleh itu peserta boleh memilih syarikat yang memberi tawaran terbaik kepada mereka sebelum ingin menyertai mana-mana produk takaful.

Wakalah bermaksud penyerahan tanggungjawab yang ada pada seseorang (muwakkil) kepada seseorang yang lain (wakil) dengan lafaz agar menguruskan tanggungjawab yang diwakilkan. Dalam industri takaful, wakalah wujud dalam dua kontrak. Syarikat takaful dilantik sebagai wakil oleh pihak peserta. Syarikat takaful (wakil) akan menjalankan tanggungjawab dalam mengurus dana risiko dan simpanan peserta serta segala urusan berkaitan. Manakala peserta mesti menyumbangkan wang kedalam tabung dana risiko tersebut. Manakala wakalah kedua pula adalah diantara syarikat takaful dan pekerja pemasaran syarikat. Dimana syarikat menyediakan skim takaful (produk) manakala pekerja pemasaran ( wakil@agent, broker, banktakaful dan kakitangan syarikat-jual terus) adalah wakil yang dilantik oleh syarikat bagi memasarkan skim tersebut kepada masyarakat bagi pihak syarikat.  

Kontrak Qard hasan merupakan pinjaman kebajikan dimana peminjam hanya perlu membayar semula jumlah wang yang dipinjam tanpa ada bayaran tambahan. Dalam industri takaful, pinjaman ini dijalankan apabila syarikat takaful kehabisan wang dari dana risiko akibat tuntutan yang melebihi dana. Maka syarikat takaful perlu memberi pinjaman kepada dana risiko bagi mempercepatkan proses tuntutan tersebut agar kebajikan peserta tidak terabai.

Kontrak hibah bermaksud memberi milik (duit, barang) kepada orang lain. Dalam industri takaful hibah berfungsi dalam beberapa keadaan. Pertama apabila syarikat takaful memberi pinjaman qardh hasan kepada dana risiko, maka pengurus dana risiko boleh memberi hibah kepada syarikat takaful sebagai tanda terima kasih apabila tabung dana tersebut pulih kembali. Kedua, hibah dari segi wang simpanan peserta: peserta boleh menghibahkan wang simpanan mereka kepada sesiapa yang diinginkanya apabila peserta tersebut meninggal dunia. Manakala wang pampasan daripada dana risiko (tuntutan) perlu diberi kepada waris yang sah mengikut hukum faraid. Ketiga, hibah wang keuntungan(mudharabah) yang kecil setiap tahun, contoh ada satu syarikat takaful dinegara ini meminta peserta hibahkan keuntungan tersebut (secara langsung) kepada rumah anak yatim dan orang miskin dari produk mereka (bukan semua produk) apabila keuntungan produk tersebut kurang daripada RM10 setiap tahun. Hibahan tersebut diuruskan oleh syarikat takaful bagi pihak peserta.

Sejarah Takaful
 Sistem takaful wujud dizaman kerajaan islam madinah lagi. Rasulullah s.a.w telah memperkenalkan dua skim utama pada masa itu. Skim al-aqilah; konsep saling bertanggungjawab dikalangan ahlinya. Di bawah skim ini, setiap ahli bersetuju mewujudkan satu tabung dana risiko yang dikenali al-khanz. Semua pungutan atau caruman yang dibayar oleh ahli akan dimasukkan kedalam tabung tersebut. Tujuan tabung ini  adalah menyediakan bayaran sebagai bantuan bagi menolong mana-mana ahli yang terlibat dengan pembunuhan secara tidak segaja atau untuk menebus tawanan perang muslimin dari pada musuh pada masa itu.

Satu lagi skim ialah al-qasamah berhubung dengan nyawa manusia. Skim ini juga melibatkan usaha mengumpul dana dalam sebuah tabung dana risiko al-qasamah. Manfaat akan dibayar kepada waris-waris (ahli peserta) yang dibunuh jika kes pembunuhan itu tidak diketahui siapa pembunuhnya atau keterangan saksi yang layak untuk benar-benar mengenal pasti pembunuhnya tidak diperolehi.

Skim al muwalah adalah satu skim tanggungan antara dua sahabat, dimana setiap sahabat berjanji akan menjaga ahli keluarga sahabat mereka. Jika salah seorang diantara mereka terkorban semasa keluar berperang. Ini bagi memastikan kebajikan anak-anak dan isteri simati akan terbela jika berlaku kecelakaan keatas suami mereka.

Dalam masyarakt melayu dana khairat kematian adalah satu contoh sistem takaful yang diuruskan secara tidak sedar oleh masyarakat melayu hari ini. Ini kerana sistem pengurusan yang tidak sistematik. Maka melalui sistem pengendali (syarikat takaful) maka sistem ini dapat diuruskan secara lebih sistematik.



      

No comments:

Post a Comment